Dendam biasanya bermula dengan marah. Rasa tidak puas hati. Akhirnya syaitan menyalutnya dengan benci. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai pesalah. Kita tidak puas hati ditegur. Kita timbulkan 1001 alasan untuk membuatkan teguran itu sesuatu yang perlu kita marahkan. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai tidak bersalah. Tiba-tiba ada orang aniaya kita, dan melakukan sesuatu yang buruk pada kita atau sengaja membuatkan kita marah. Maka kita timbulkan 1001 alasan untuk membuatkan situasi itu sebagai lesen untuk menghamburkan amarah.
Mungkin kita akan rasa puas hati lepas marah-marah sebentar. Tetapi, ia memberikan luka yang dalam. Baik kepada yang dimarahi, atau kita sebagai pemarah.
Sebab itu, Islam menganjurkan bermaafan.
Sebab dengan kemaafan, hati manusia itu akan bahagia.
Bukan mudah
Memang tidak mudah. Kita akan rasa diri kita dipijak. Kita akan rasa bahawa kitalah yang kalah. Kita akan rasa bahawa dengan memaafkan maka kita kelihatan seperti pesalah.
Kita rasa bahawa: “Dia salah, maka dia kenalah merana atas kesalahannya”
Bukan mudah memaafkan. kita sedar, yang menghadang antara memaafkan dengan tidak adalah sebuah tembok bernama Ego.
Tetapi, apakah jalan ke arah kebahagiaan itu mudah-mudah sentiasa?
Tidak. Ia memerlukan pengorbanan.
Maka, untuk mendapat ketenangan hati dari tindakan memaafkan orang ini, kita perlu mengorbankan ego kita.
Kita percaya bahawa, Allah akan memberikan kita sesuatu yang lebih baik, apabila kita memaafkan sesiapa yang menganiaya kita.
“…dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nuur ayat 22.
Ganjarannya adalah keampunan Allah. MasyaAllah… hanya dengan memaafkan.
Tidakkah ganjaran itu sangat besar berbanding kesakitan jiwa memendam amarah?
Memaafkan, jiwa tenang, tubuh sihat
Memaafkan mempunyai khasiat yang banyak. Selain menjaga hubungan harmonis antara sesama manusia, ia juga mengetuk kesedaran jiwa akan kesalahan diri sendiri terhadap orang lain.
Sebagaimana Rasulullah SAW yang amat pemaaf, sifatnya itu mengetuk kesedaran pada ramai musuh-musuhnya. Kita dapat melihat betapa besarnya peribadi Rasulullah SAW apabila baginda memaafkan seluruh kaum Musyrikin Makkah ketika peristiwa Fathu Makkah.
Harun Yahya pula, ada menyatakan bahawa, dengan memberikan kemafaan pada orang lain, ini akan membantu kesihatan. Dua buku karangan orang bukan Islam, telah menyokong pendapat ini. Buku yang pertama adalah: Forgive for Good by Dr Federic Luiskin dan Forgiveness by Healing Current Magazine. Kedua-dua buku ini menyatakan betapa memaafkan itu dapat mengurangkan stress, dan mengekalkan kemudaan. Kedua-dua buku ini juga menyatakan bahawa, menyimpan dendam, menahan kemaafan adalah mampu merosakkan sistem tubuh. Hal ini kerana, apabila mansuia berterusan marah, maka kitar suhu tubuh dan peraliran darahnya menjadi tidak teratur dan tidan seimbang.
Islam sebagai satu cara hidup, yang diturunkan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui, ternyata telah merungkai perkara ini terlebih dahulu. Sebab itu, kita dapat melihat betapa tenangnya kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat, apabila mereka sentiasa memaafkan dan tidak pula berdendam.
Mereka tidak terjun merosakkan hati dan diri mereka dengan memanjangkan perkara yang tidak sihat.
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;” Surah Al-Furqaan ayat 63.
Adakah memaafkan itu menghalalkan perbuatan salah?
Bila kita memaafkan seorang pencuri, apakah kita menghalalkan tindakannya mencuri? Bila kita memaafkan seorang yang menganiayai kita, apakah kita menghalalkan tindakannya menganiayai kita?
Tidak. Perbuatan salah itu tetap salah.
Adakah memaafkan itu bermaksud tidak menegur?
Tidak. Kita tetap menegur.
Beza orang yang memaafkan menegur, dengan orang yang marah-marah menegur, orang yang memaafkan itu lebih bersih tegurannya. Dia tidak bersalut emosi yang melampau. Dia menegur memang betul-betul kerana dia faham tanggungjawabnya untuk menegur.
Apakah memaafkan ini bermaksud kita tidak boleh marah?
Tidak. Kita boleh marah. Tetapi bagaimanakah marah yang sebenarnya? Terbina di atas apakah kemarahan kita? Semestinya kita marah pun, mengikut neraca Allah SWT.
Memaafkan adalah untuk kita sebenarnya. Dengan memaafkan, bermakna kita sedang taat kepada Allah SWT. Memaafkan, bermakna kita sedang berusaha menaga jiwa kita.
Syaitan, menjadikan amarah manusia, sebagai kuda tunggangannya.
Penutup: Pilihan kita.
Kita sebagai manusia, diberikan pilihan untuk berikhtiar. Maka, kita tidak dipaksa untuk memaafkan mahupun untuk tidak memaafkan. Kita yang pilih.
Namun, setiap pilihan ada konsikuensinya yag tersendiri.
Apakah tidak memaafkan itu memberi manfaat yang besar pada diri kita, dan juga pada orang lain?
Apakah memaafkan itu memberikan mudarat yang besar pada diri kita dan juga pada orang lain?Sebab itu, dalam membuat pilihan, sebaiknya kita mengambil neraca Allah SWT. Kita tidak mengetahui, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui.
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah At-Taghabun ayat 14.
“Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” Surah Asy-Syu’ara ayat 43.
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;(Siapakah orang-orang yang bertaqwa?) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik” Surah Ali Imran ayat 133-134.
Justeru, pilihan di tangan kita.
Memafkan, atau tidak memaafkan.
-diana jalil-
No comments:
Post a Comment